Rabu, Oktober 14

Terima Peperiksaan Secara Positif


“Peperiksaan yang berlangsung selama beberapa hari tidak wajar menghukum seluruh hidup anda. Anda telah berjaya menempuh alam pembelajaran untuk beberapa tahun, tentulah tidak wajar peperiksaan yang hanya memakan masa beberapa hari memusnahkan seluruh impian anda” GuruBashid

1 Peperiksaan adalah peluang yang diberi kepada anda. Peluang ini hanya datang sekali dalam hidup anda.

2 Jangan bersangka buruk dengan peperiksaan dan sesiapa sahaja yang terbabit dengan sistem penilaian itu. Tetapi terimalah kehadirannya dengan rasa yakin, tenang dan ceria.

3 Inilah saatnya anda membuktikan kepada orang-orang yang anda sayangi bahawa anda benar-benar mampu.

4 Melalui peperiksaan ini, anda akan menghadiahkan sebuah kejayaan dan kegembiraan yang bakal dikongsi bersama dengan ibu, bapa, penjaga dan keluarga anda.

5 Ambillah dan gunakanlah peluang yang ada ini dengan melakukan yang terbaik. Kalau pun bukan untuk ibu bapa dan guru-guru anda, lakukannya untuk diri anda sendiri.

6 Anda boleh juga menggunakan peluang keemasan ini untuk “membalas dendam”. Anda mungkin berdendam dengan seseorang yang selama ini memandang rendah kepada kemampuan anda. Melalui senjata peperiksaan ini jangan lepaskan mereka.

7 Anda tidak perlu memaki hamun mereka, jauh sekali mencederakan mereka. Anda hanya perlu melampiaskan seluruh rasa marah dan dendam anda melalui kertas jawapan.

8 Pastikan anda jawab sebaik mungkin dan niatkan jawapan terbaik itu untuk orang-orang yang anda benci selama ini.

9 Buktikan kepada mereka bahawa anda tidak seperti yang mereka sangkakan. Anda bukan bodoh atau lemah. Anda cuma belum mendapat kesempatan yang sesuai untuk membuktikan kepandaian anda. Dan kini anda benar-benar menemuinya, iaitu peperiksaan.

10 Anda patut tunjukkan slip keputusan yang bakal anda terima nanti di hadapan mereka dan biarkan mereka tercengang dengan keputusan yang anda capai.

11 Beritahu mereka bahawa sangkaan mereka terhadap anda selama ini tidak betul. Katakan kepada mereka bahawa “saya bukan bodoh seperti yang cikgu, mak atau ayah pernah kata“.

12 Peperiksaan yang berlangsung selama beberapa hari tidak wajar menghukum seluruh hidup anda. Anda telah berjaya menempuh alam pembelajaran untuk beberapa tahun, tentulah tidak wajar peperiksaan yang hanya memakan masa beberapa hari memusnahkan seluruh impian anda.

13 Peperiksaan tidak boleh dibenarkan merosakkan seluruh masa depan anda. Peperiksaan harus diterima secara husnud dzan (sangka baik).

14 Percayalah, peperiksaan diwujudkan untuk mencari jawapan-jawapan yang betul dan mereka yang berjaya, bukannya mencari jawapan yang salah dan mereka yang gagal.

15 Lebih ramai yang dapat menjawap soalan dengan betul dan lebih ramai yang berjaya, itulah sebenarnya yang dicari dalam peperiksaan.

16 Semua yang terlibat dalam peperiksaan seperti pengawas peperiksaan, penggubal soalan dan pemeriksa kertas jawapan adalah individu-individu yang menaruh kepercayaan kepada anda dan akan membantu anda melakukan yang terbaik.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan