Khamis, Januari 21

Kegagalan Akan Menambah Ilmu Untuk Lebih Berjaya


Pernah gagal? Pernahkah dalam hidup anda, anda merancang melakukan sesuatu kemudian gagal? Atau pernahkah anda berusaha melakukan sesuatu, kemudian usaha anda itu gagal dan anda berhenti di pertengahan jalan?

Ramai orang apabila melihat perkataan gagal, mereka akan menjadi takut. Seperti ramai antara kawan saya sendiri, kalau nampak gagal tu, rasa macam x de makna untuk hidup lagi selepas gagal. Semua orang takut untuk gagal.Bagi mereka, gagal itu satu titik hitam.

Tetapi bagi saya, gagal itu satu yang lumrah.Saya sendiri banyak kali gagal dalam kehidupan. Memang sakit dan pedih apabila gagal. Tambahan pula apabila manusia sekelilimh akan mengutuk dan mencerca kita atas kegagalan itu.Tetapi gagal pada saya akan membuatkan kita menjadi lebih kuat. Apabila gagal, sebenarnya kita telah menambah satu ilmu baru yang boleh kita jadikan tangga untuk peningkatan.

Siapa yang tidak tahu sejarah penciptaan mentol? Thomas Edison mencipta mentol itu selepas 2000 kali percubaannya tidak berjaya.Apabila ditanya, bagaimana dia boleh berusaha sebegitu rupa walaupon menghadapi 2000 kali kegagalan, dia berkata:

"Saya tidak gagal, saya hanya berjaya selepas 2000 kali mencuba."

Ya....itulah yang saya hendak anda lihat.Kenapa perlu takut gagal? Kita sepatutnya perlu berusaha bersungguh-sungguh tanpa rasa takut dan gentar.Jangan letakkan kegagalan di dalam kamus hidup anda.Gagal hanya akan singgah dalam kehidupan anda apabila anda berputus asa. Dan ketahuilah bahawa Allah tidak suka orang yang berputus asa. Dalam al-Quran, Allah ada beberapa kali berpesan supaya kita tidak berputus asadengan rahmat-Nya.

Apabila kita tidak berjaya melakukan sesuatu, hakikatnya itu bukan satu penamat untuk kita. Malah kalau kita melihat secara positif, kegagalan kita itu akan membuatkan kita berfikir panjang dan bermuhasabah. Kita akan mendapat ilmu baru apabila tidak berjaya.Kita akan bertanya diri kita kenapa kita tidak berjaya dan kita akan lihat kenapa kita tidak berjaya. Dari situ, kita boleh menyusun semula langkah, untuk terus membaiki dan mempertingkatkan prestasi agar kesilapan lama tidak berulang.Kalu kita buat silap pun, kita tidak akan buat kesilapan yang sama.

Ya. Gagal itu hanya berlaku apabila anda berhenti. Seperti kehidupan.Jika anda berdosa kepada Allah, adakah itu penamat segalanya? Malah Allah menyuruh anda agar bertaubat berkali-kali kepada-Nya.Allah suka orang yang berkali-kali bertaubat

"Sesungguhnya Allah mencintai mereka yang seringbertabat dan membersihkan diri."

Nah...anda hanya gagal apabila anda terhenti dalam melakukan maksiat.

Lihat, gagal hanya apabila berhenti. Sebenarnya, berjaya atau tidak, itu semuanya terletak pada tangan kita. Jika kita menganggap sesuatu perkara itu penting, maka kita tidak akan senang-senang mengalah atas segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi sepanjang mencapai matlamat itu.

Lihat Rasulullah SAW ketika peristiwa Ta'if. Baginda dihalau, dibaling batu sehingga seluruh tubuh baginda luka. Adakah baginda berhenti? Tidak, malah baginda meneruskan lagi dakwah baginda. Gagal? Tidak, baginda berjaya.

Bagaimana?

Anda hendak gagal?

Masih takut dengan kegagalan?

Gagal itu terletak pada tangan anda.A

Antara anda mahu atau tidak sahaja.

Khamis, Januari 7

MOTIVASI : CABARAN DEMI CABARAN





Apa yang menjadikan kehidupan manusia itu satu kehidupan yang bermakna?

Kerana wujudnya cabaran.

Didatangkan oleh siapa cabaran itu?

Allah. Walaupun mungkin zahirnya kita lihat bahawa yang menganiayai kita adalah sahabat kita. Walaupun yang kita nampak memecah rumah kita adalah pencuri. Walaupun yang memukul kita adalah seorang pembuli. Walaupun yang menyakitkan kita adalah kerja yang bertimbun. Walaupun yang menyebalkan kita adalah trafik jalan raya. Walaupun itu, walaupun ini.

Allahlah yang mendatangkan cabaran itu kepada kita.

Bukan untuk apa.

Sekadar menguji apakah kita ini benar-bbenar seorang hamba-Nya.

Ya, kita lelah

Tidak sembuh kecederaan semalam, hari ini muncul luka baru.

Kita rasa lelah. Rasa penat. Rasa bosan. Ayat kasarnya, fed up. Tidak kira apa pun pekerjaan kita, bagaimana pun sikap kita, macam mana pun status kita, cabaran akan wujud bersama perjalanan hidup kita.

Ini hakikatnya yang perlu kita terima.

Kita hanya hamba. Tidak layak berkata apa. Melainkan berhadapan sahaja dengan cabaran dan dugaan yang terbentang di hadapan kita. Siapa kita? Kita hanyalah hamba. Benda itu perlu dipakukan dengan kemas di dalam jiwa kita.

Namun, apakah Allah SWT sebagai TUAN dan TUHAN kita itu, suka-suka sahaja melihat kita berhadapan dengan kesukaran demi kesukaran yang mendatang?

Tidak.

Dalam celahan kesukaran ini, Dia tidak meninggalkan kita sebenarnya.

Oh, tidak pula kita nampak

Wahai manusia-manusia yang merasai dirinya ditinggalkan Allah! Wahai manusia-manusia yang merasai dirinya tidak diperhatikan Allah! Wahai manusia-manusia yang rasa dirinya dibuli oleh takdir! Wahai manusia-manusia yang merasakan dirinya dizalimi sepanjang kehidupan ini!

Saya menyeru kalian untuk membaca apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya, yang akhirnya disampaikan kepada kita untuk menyedari kebenaranya.

“1. Demi waktu dhuha. Dan malam apabila ia sunyi-sepi . “

“3. (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu,”

“3. Dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).”

“4. Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.”

“5. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati”

“6. Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?”

“7. Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?”

“8. Dan didapatiNya engkau miskin(yatim piatu), lalu Ia memberikan kekayaan(menjadi rasul yang membawa risalah)?”

“9. Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.”

“10. Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik.”

“11. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” Surah Ad-Dhuha ayat 1-11.

Ya. Perhatikanlah ayat ini. Kata-kata pujukan yang menghangat. Siapakah yang menyatakan dirimu ditinggalkan wahai manusia? Siapakah yang menyatakan dirimu dizalimi wahai manusia?

Tahukah kamu wahai manusia, apakah surah yang turun selepas Surah Ad-Dhuha?

Bacalah!

“1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ? “

“2. Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam)”

“3. Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?”

“4. Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?”

“5. Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, “

“6. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

“7. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),”

“8. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).” Surah Asy-Syarh ayat 1-8.

Siapakah yang berani menyatakan bahawa Allah meninggalkannya sekarang?

Tusukkanlah ayat-ayat ini di dalam jiwamu wahai insan. Apakah kamu ini manusia yang tidak memerhatikan?

Bukan Ditinggalkan, Tetapi Kita Yang meninggalkan

Hakikatnya, lemah apabila diduga cabaran hidup ini, yang akhirnya membuatkan kita tersungkur cacat, adalah disebabkan diri manusia yang telah meninggalkan Allah SWT sebagai sumber kekuatannya.

Allah, tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Tetapi, hamba-hamba-Nya sahaja yang menzalimi diri mereka sendiri.

Zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Semua kita lahir di atas fitrah Islam. Tetapi kita tidak meletakkan diri kita di dalam Islam dengan sebenar-benarnya. Fitrah kita adalah mengakui bahawa Allah adalah Ilah kita, Rabb kita, tetapi kita hari ini tidak bertindak sedemikian rupa. Kita pagari Islam hanya di dalam masjid sahaja. Kita ingat Allah hanya ketika saudara mara kita mati sahaja.

Maka apakah kita punya kekuatan bila didatangkan kepada kita cabaran?

Kepada siapa kita hendak berpaut? Kepada yang menghadapi cabaran jugakah?

Oh, sesungguhnya kita telah menzalimi diri.

Penutup: Cabaran Itu Hanya Terhenti Apabila Mati

Kepada diri saya dan semua, ketahuilah bahawa kembar kepada kehidupan ini adalah ujian. Jika bukan, maka Adam AS tidak akan terlempar keluar dari Syurga.

Cabaran akan sentiasa mengejar kita walaupun kita duduk diam dan tidak melakukan apa-apa. Memasung diri dari tidak melakukan apa-apa kerana takutkan cabaran adalah tindakan terbodoh di dalam dunia.

Maka bangkitlah. Rentaslah segala lautan cabaran dan dugaan yang wujud dalam kehidupan kita ini. Kunci untuk tabah merentasinya adalah dengan menghubungkan kita kepada Pencipta Cabaran. Dialah Allah, Yang Maha Berkuasa Lagi Perkasa.

Andai kita tidak kembali kepada-Nya, maka sesungguhnya kita hanya akan tersungkur, dan tidak akan mampu bangkit semula.

Dia sedang menghulurkan tangan-Nya sekarang, apakah pantas kita melewat-lewatkan diri kita untuk menyambut tawaran-Nya?

Jika kita sengaja melewatkan diri, ketahuilah apabila kita gugur dihentam badai cabaran nanti, kita adalah orang yang merugi.

p/s

diambil dari langitilahi.com