Selasa, Julai 6

kepulangan yang dirindui...

jangan biarkan blogmu dipenuhi sawang....

Setelah lima bulan lamanya saya membiarkan sawang memenuhi laman ini, akhirnya saya kembali dengan azam dan semangat yang baru. Sedih juga bila melihat kawan-kawan yang lain sibuk mengupdate blog, tapi diri ini tidak melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan seperti mereka itu. Ada juga kawan-kawan yang menasihatkan supaya rajin-rajinlah update blog tu. Saya rasa mungkin masanya sudah tiba untuk saya menyahut nasihat yang diberikan itu.

Sekadar perkongsian.

Mungkin post saya kali ini bukanlah yang asli daripada penulisan saya sendiri, namun saya berdoa supaya Allah akan permudahkan saya untuk terus istiqomah dalam menyambung risalah perjuangan nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan dakwah melalui pelbagai medium yang ada kini termasuklah penulisan melalui blog ini. Semoga perkongsian yang saya ambil daripada blog ini dapat memberi manfaat kepada diri saya dan juga anda semua dalam meneruskan niat yang murni ini...

disunting daripada langitilahi.com

Ada beberapa orang yang bertanya dengan saya sebelum ini, bagaimana hendak menjadi penulis, bagaimana hendak mencipta satu karya dan sebagainya, hari ini saya akan kongsikan sedikit bersama anda, berdasarkan pengalaman saya.


Bermula dengan niat

Pada saya, perjalanan seorang penulis yang baik, dan mampu memberikan kesan kepada manusia adalah dengan niat. Jika benar kita adalah seorang penulis yang mempunyai keterikatan dengan Allah SWT, maka kita akan memerhatikan niat kita sebelum memulakan perjalanan dalam alam penulisan.

“Setiap amal itu disertai niat, setiap orang apa yang diniatkan olehnya, barangsiapa yang berhijrah ke arah Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya akan kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia, untuk mendapatkan habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hijrahkan kepadanya” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Seorang penulis perlu menyoal kepada dirinya: “Untuk apa aku menulis?”, “Apa niat aku menulis karya ni?”, “Atas dasar apa aku menjadi penulis?”

Kenapa saya tetapkan perihal niat? Kerana niat adalah asas. Kita akan bergerak ke arah apa yang diniatkan oleh kita secara tidak sedar. Seorag ulama’ berkata:

“Keputusasaan di tengah perjalanan, adalah kerana wujud kesilapan di titik permulaan”

Maka, sesiapa yang mempunyai minat untuk menjadi penulis, saya senang kalau dia perhatikan niatya terlebih dahulu, menjadikan niatnya niat yang bersih, sebelum dia bergerak lebih jauh dengan menulis itu dan ini, agar penulisannya nanti menjadi penulisa yang juga bersih dan bermakna kepada dirinya, dan juga pembaca.


Bakat atau latihan?

Soalan panas. Menulis ini perlukan bakat kah? Atau cukup sekadar kita melakukan latihan?

Kalau soalan ini dilontarkan kepada saya, saya akan berkata bahawa bakat semula jadi dalam bidag penulisan, hanyalah nilai tambah sahaja. Hakikatnya, latihan memberikan sokongan yang besar dalam menjayakan penulisan kita.

Bakat, hakikatnya anda boleh hadirkannya. Hadirkan bagaimana? Dengan latihan.

Dan kalau anda perhatikan, seseorang yang genius di dalam sesuatu bidang, jika dia tidak berusaha pun, dia tidak akan ke mana-mana hanya dengan kegeniusannya.

Apa latihan sebagai seorang penulis?


Beberapa aspek yang perlu diperhatikan

Untuk saya, seorang penulis perlu melatih dirinya dalam beberapa aspek.

Aspek 1: Melatih untuk menguatkan hubungannya dengan Allah SWT – Hal ini kerana, jika anda berniat untuk menulis bagi membantu ummah berubah, bagi mempertingkatkan diri dan menyedarkan masyarakat berkenaan sesuatu perkara, maka hendaklah anda melatih diri anda untuk menjadi hamba. Yang menyampaikan penulisan kita, adalah Allah SWT. Siapakah yang meyakini?

Aspek 2: Melatih untuk memperbanyakkan pembacaan – Seorang penulis perlu ada ilmu. Barulah penulisannya kuat. Tidak bercakap atas angin, tidak memberikan sesuatu yang rapuh, dan penyampaiannya teguh lagi meyakinkan. Penulis yang tiada ilmu, dia tidak akan membina, tetapi sekadar menghancurkan pula pembaca-pembaca yang membaca karyanya. A Samad Said ada berkata, apabila ditanya berkenaan bagaimana hendak menulis: “Baca, baca, baca, baca kemudian tulis”

Aspek 3: Berdisplin dalam mewujudkan kebolehan menulis – anda ada masa tetap untuk anda menulis. Seminggu sekali atau beberapa kali, untuk mengasah gaya penulisan, teknik penulisan. Dan perlu rajin, perlu berdisiplin, atau seorang penulis itu tidak akan berjaya mempertingkatkan seni penulisannya sampai bila-bila. Memperbanyakkan bacaan juga hakikatnya merupakan salah satu disiplin, latihan, untuk mewujudkan, mencatikkan kebolehan menulis.

Aspek 4: Melatih minda supaya proaktif – ini amat penting kerana bagi seorang penulis, idea adalah antara nyawanya. Penulis yang tiada idea, tidak akan mampu menulis. Sebab itu, seorang penulis perlu bijak menterjemahkan segala apa yang dia lihat, dia lakukan, dia lalui, dia kenali, dia ketahui, kepada idea-idea. Penulis yang mampu berbuat begini, maka dia akan mampu menjadi penulis yang baik.

Aspek 5: Melatih hati untuk rendah – Dan akhir sekali, penulis yang baik adalah dia merendahkan hatinya. Dia menghubungkan segala usahanya tadi, dengan Allah SWT. Segala hasil yang dapat dia perah dari usahanya tadi, dia kembalikan kepada Allah dengan berterima kasih dan merasa itu semua hadiah daripada-Nya. Dia menghubungkan penulisanya, dengan Allah SWT. Dia tidak lemas dengan karyanya, dia tidak tenggelam dalam lautan ilmunya, dia tidak ujub dengan kebolehanya. Ini satu aspek yang menjadikan seseorang itu penulis yang baik.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan